Tuesday, November 26, 2013

:: ibrah di sebalik fitnah :;

Salam alaikum. Saat ini, terasa seperti satu batu besar terhempap di dada. Bermula dari rasa simpati, membawa kepada mudharat(?) yang lebih besar.

Saya tidak pandai membaca fikiran orang tua. Tetapi setidaknya perkara yang sedang dialami ini membuka minda saya kepada sesuatu yang baru dalam hidup. Saya masih belum pasti apakah tindakan yang telah saya ambil itu betul ataupun salah. Niat asal hanya untuk penambahbaikan, tetapi tersasar mungkin kerana silap pertimbangan.

Bagi saya, segalanya terasa bagai sekelip mata. Jika tidak diambil tindakan, mungkin kesilapan itu tidak akan diperbetulkan sampai bila2. Maklum sahaja bila bekerja makan gaji, masing2 takut bersuara kerana ingin menjaga 'line'. Oh, dasyat sungguh peranan duit gaji dan pangkat!

Sepanjang saya berada di sini, ada beberapa kepincangan yang saya tahu berlaku. Bekerja untuk golongan fi sabilillah, sepatutnya lebih ikhlas dan jujur. Bermula dari kemudahan prasarana, fasiliti, ilmu, tidak kurang makanan dan minuman yang saban hari memasuki perut mereka. Jika tidak jujur, bukan sahaja rezeki yang masuk ke perut mereka haram malah hak orang lain juga sedang diambil secara batil.

Semenjak saya memasuki sektor kerajaan, boleh dikira dengan jari siapa yang bekerja lillahi taala. Majoritinya kerana duit. Tidak dinafikan duit penting, tetapi jangan sampai tidak mengira mana halal dan haramnya. Sumbernya dari mana, politik wang bermaharajalela. Memberi atas nama hadiah atau sumbangan, padahal ada niat lain tersembunyi. Bukan rasuah, tetapi hadiah. Cuba kalau tidak dapat tender, apakah masih diberi 'hadiah' tersebut! Jawapannya TIDAK mungkin!

Saya panas hati. Ya, sangat panas dan perit hati melihatnya depan mata. Sakit juga mendengar segala umpatan dan mungkin fitnah terkandung pada setiap ucapan orang. Menuduh tanpa bukti yang kukuh, mengaku segalanya benar padahal yang dilihat hanya di atas angin.

Akhir tahun ini, kontrak dewan makan akan tamat perkhidmatannya. Untuk penambahbaikan, saya sedia ke menara dan bertemu pihak atasan bersama beberapa aduan agar akan datang menjadi lebih baik. Langsung tidak terniat di hati untuk mengusir tender sedia ada. Malah diakui pengurusan sekarang sangat baik dan bermurah hati. Cuma ada beberapa perkara yang saya kurang berkenan. Jika pihaknya sedia memperbaiki, silakan menyambung kontrak. Dengan berbesar hati dan tangan ditadah luas.

Tetapi mulut orang memang sukar ditutup. Niat saya disalaherti. Perjumpaan saya dengan atasan dinoktahkan sebagai mengadu. Allah..kalaupun saya mengadu, aduan saya atas dasar kesian pada mereka yang telah dinafikan haknya. Makanan yang sepatutnya mereka dapat lebih dari itu kerana tender dibayar dengan duit ibubapa mereka. Duit rakyat Malaysia, bukan rakyat Singapura atau Thailand!

Pasrah. Hanya Allah tahu apa niat saya. Mungkin, mungkin cara saya salah. Atau mungkin juga Allah ingin mengajar saya sesuatu yang lebih baik. Merasai apa yang pernah dirasai oleh orang yang difitnah manusia. Juga kaffarah dosa. Itu saya teramat yakin.