Saturday, December 15, 2012

:: Dia Yang Ku Panggil Ayah -2- ::


Perjalanan kami pada kebiasaannya mengambil masa kira2 3 jam tetapi malam itu anehnya terasa singkat. Mungkin Allah telah melipat dan memendekkan jalan untuk kami. 3ala kulli hal, alhamdulillah. Perodua Alza yang dipandu k.Day membelok masuk ke perkarangan hospital. Saya telah sedia maklum, ibu tiada di situ. Yang menunggu di wad kecemasan hospital saat itu ialah dua orang adik saya, abang angkat, isteri dan anaknya, juga dua orang bapa saudara saya. Ketika kami sampai, hanya adik saya yang kedua menemani ayah saya di wad kecemasan manakala yang lain berada di lobi hospital menunggu keputusan doktor yang merawat.

Selepas menerangkan serba sedikit tentang sakit ayah, abang angkat saya meminta agar membawa anak isterinya balik ke rumah untuk berehat. Mereka sekeluarga berkejar dari Besut selepas kakak ipar menghadiri temuduga j-Qaf di sana siang harinya. Dan mereka belum dapat merehatkan tubuh sedari pagi. Apatahlagi anaknya yang baru berusia setahun, sudah pastilah keadaan di hospital kurang selesa buat mereka sekeluarga. Sekali lagi saya meminta jasa baik k.Day untuk menghantar kami pulang ke rumah. menemani ibu yang keseorangan.

Saya, ibu, adik dan abang angkat berangkat ke hospital pada pagi esoknya. Adik saya yang kedua sememangnya berada di hospital sejak semalam. Sejak dari awal pagi lagi dia menelefon, memaklumkan doktor ingin berjumpa dan berbincang. Sampai di hospital kami masuk melalui pintu kecemasan memandangkan pintu utama tidak dibuka sebelum waktu melawat jam 1 tengahari.

Sampai di wad 7EF, hanya 2 orang yang dibenarkan masuk ke ruang pesakit. Saya bergilir dengan abang angkat melihat keadaan ayah. Sebaik sampai di katil ayah, saya cuba menahan sebak tetapi gagal. Waktu itu bermacam2 andaian buruk melintas di fikiran. Bagaimana jika ayah pergi dulu? Adakah sudah sampai waktu? Tangisan saya pecah jua walaupun sudah saya tahan beberapa kali.

Pernafasan ayah sangat tidak stabil. Melihatnya terbaring begitu menjadikannya nampak tua  dan lemah. Doktor memaklumkan ayah perlu dibedah dengan segera. Otak kiri ayah bengkak dan membengkak dengan pantas. Kalau tidak dibedah segera mungkin akan melarat ke bahagian kanan pula. Waktu itu saya sudah tidak dapat berfikir. Yang saya mahu waktu itu agar ayah sembuh seperti sediakala.

Setelah berbincang dan bertanyakan pendapat saudara-mara, akhirnya kami memutuskan agar ayah dibedah. Walaupun risikonya tinggi kerana ayah akan dibedah bahagian kepala, kami redha kerana itu sahaja pilihan yang kami ada. Selebihnya hanya berdoa dan bertawakkal semoga Allah menyelamatkan ayah.

Ayah dibawa masuk ke bilik pembedahan jam 3 petang. Alhamdulillah pembedahan berjalan lancar dan selepas itu ayah dimasukkan ke Acute Stroke Ward untuk pemeriksaan lanjut dan jagaan rapi. Dalam 48 jam ayah tidak sedarkan diri. Selepas itu hanya matanya sahaja terbuka sekejap2 tidak sampai seminit pada suatu2 masa. Sejak itu saudara dan kenalan2 ayah tidak putus2 hadir berziarah.

Hampir 3 minggu ayah berada di wad. Kesihatannya stabil, tetapi keadaannya tetap sama. Langsung tidak boleh bercakap. Hanya matanya yang terbuka dan bahagian badan sebelah kirinya sahaja boleh bergerak. Selebihnya kaku.

Saya tidak tahu apakah dia memahami bahasa kami atau tidak. Tetapi yang pasti, saya sentiasa mendoakan ayah. Memberitahunya bahawa saya sangat sayangkan dia. Juga tidak lupa mewudhu'kan dia setiap kali tiba waktu solat dan menyuruhnya berzikir. Saya langsung tidak menyangka, ayah yang sebelum ini sangat kuat dan jarang sakit, akan terlantar begini di atas katil tidak berdaya. Adakalanya saya tertanya sendiri, apakah selamanya dia akan begitu? Dalam hati, kami sekeluarga tetap mendoakan ayah. Mendoakan agar dia segar semula. Mungkin mustahil untuknya sembuh seperti biasa, cukuplah sekadar dia dapat memahami, bercakap dan bergerak semula.

" Waizaa maridhtu fahuwa yashfiiin." Allahumma istajib du3aana....

3 comments:

Hamidah Harun said...

Allahu..moga kak ummi tabah,,

tiada yang menyembuhkan..melainkan Allah..

Syi lalala said...

Allahumma yashfeeh..

Banyok sabar k.mi

k.mie said...

mieha n syie: mohon doanya ya mbak2 sekalian :)