Wednesday, December 12, 2012

:: Dia Yang Ku Panggil Ayah ::


Tergagau saya mencari arah. Panggilan telefon dari ibu lewat senja itu menyentap perasaan. Ayah tidak sedarkan diri! Minda sedar saya mula mengutip waras. Mengutip kembali wajah dan kondisi ayah yang saya tinggalkan subuh tadi. Ayah tidak menunjukkan apa2 yang negatif. Subuh itu, dia masih mantap menyusun langkah mengelilingi rumah. Malah masih kuat mengejutkan adik yang lena untuk menunaikan solat Subuh. Wajahnya segar, nada suaranya kuat. Cuma malam tadi...ya, malamnya saya terperasankan sesuatu saat memandang wajah ayah.


HUJAN DAN LEBUHRAYA

Sabtu 10 November, saya mendapat khabar ibu, ayah dan adik kemalangan. Waktu itu saya sudah bersiap2 menunggu kedatangan Husna untuk kembali ke Kemaman setelah bercuti hujung minggu. Jantung saya berdebar. Toyota Avanza yang dipandu adik terbabas di lebuhraya. Wajarlah, jika keadaan hujan lebat dan jalan yang licin adik saya masih menekan minyak tanpa 'rasa bersalah'.

Petang itu, saya masih meneruskan perancangan kembali ke tempat kerja walaupun hati berdebar.  Apabila mendengar ketiga2nya selamat, saya merasakan tidak ada apa2 yang perlu dirisaukan tetapi masih ada rasa kurang enak menyapa. Malam itu saya tidur dengan perasaan yang sukar ditafsir. Ada rasa debar berlagu tidak henti.

Ahad 11 November, sebaik sahaja tamat kelas saya terus melangkah ke pejabat. Bertanyakan kerani jika saya boleh mengambil cuti keesokan harinya. Alhamdulillah cuti saya diluluskan dan saya bertolak pulang petang itu juga. Hampir seminggu saya berada di rumah, tiada apa2 yang merisaukan. Ibu tiada apa2 yang cedera, cuma kakinya sedikit bengkak. Adik juga tiada apa2 selain gigi depannya sahaja yang patah. Cuma ayah, selain gusi dan mulutnya bengkak, tulang rusuknya terperosok ke pintu kereta menyebabkan daya kekuatan di bahagian kiri sedikit berkurang. Secara keseluruhan, keadaan semakin pulih seperti biasa. Saya cuba memujuk ayah untuk membuat pemeriksaan lanjut di hospital tetapi tidak dihiraukan. Bukan saya seorang, rasanya hampir setiap orang yang datang menjenguk membuat usulan yang serupa. Tetapi ayah langsung tidak berganjak dari keputusannya untuk tidak bertemu doktor dan membuat imbasan x-ray.

Selasa 13 November, saya masih berkira2 untuk mengikuti lawatan akhir pelajar STAM 2012 ke Pulau Langkawi dan Cameron Highland selama 5 hari. Berat hati untuk bergembira dalam keadaan ayah yang masih belum pulih sepenuhnya. Apatahlagi setiap hari ada sahaja yang datang berziarah. Saya terhimpit di antara dua kondisi. Berat hati untuk pergi tetapi saya kasihankan k.Day, teman serumah saya yang keseorangan jika saya tidak turut serta. Setelah berbincang dengan ibu, dia tidak berbicara banyak. Cuma mengatakan 'tidak baik menyusahkan orang dengan keputusan last-minute. Mana mereka nak cari pengganti menggantikan kamu di saat akhir...' Saya terdiam. Akhirnya dengan berat hati malam itu saya melangkah jua ke Menara YIT, menunggu bas ke lawatan 5 hari 4 malam itu.

Tengah malam 17 November, saya selamat tiba di Terengganu. Tidak menunggu lama, adik saya sudah sampai bersama sepupu untuk menjemput. Esoknya sehari lagi saya mengambil cuti kecemasan. Cuti rehat selepas 5 hari kosong dari kerehatan.

Saya bercadang untuk kembali ke INSPI pada pagi Isnin. Jadi saya masih ada masa sehari untuk mengemas rumah dan menyiapkan barang2 untuk dibawa ke rumah sewa di Kemaman. Malangnya dek kerana terlalu ramai yang datang berziarah, rancangan hanya tinggal rancangan. Baju2 yang dibawa semasa bercuti sempat dibasuh, tetapi tidak sempat bersidai. Rumah juga tidak sempat dikemas. Ayah pula nampaknya semakin pulih walaupun saya masih ragu2 dengan kesihatannya. Malam itu dia nampak kurang bermaya dari hari2 sebelumnya. Tapi tidak pula terlintas apa2 yang kurang elok di fikiran.

Pagi Isnin 18 November, sebelum Subuh saya bangun untuk bersiap. Perjalanan dari KT ke Kemaman jika mengikut jalan pantai mengambil masa kira2 3 jam. Tapi jika mengikut lebuhraya pula hanya memakan masa 2 jam perjalanan. Untuk menjimatkan masa, biasanya jika bertolak pagi kami melalui lebuhraya agar sampai tepat pada waktu sementelah waktu masuk kerja bermula jam 8 pagi.

Usai sembahyang Subuh, saya lihat ayah sudah mula berjalan2 sekitar rumah. Imej lemah ayah semalam terhapus melihatnya yang sudah bertenaga Subuh itu. Hati saya sedikit lega.

"Ayah nak makan bubur jagung?" Saya bertanya setelah teringat bubur jagung yang saya panaskan sebelum solat Subuh.

"Boleh juga." Balas ayah ringkas. Selepas menyiapkan bubur jagung, saya menyalami tangan ayah.

"Mana kereta?" Kereta yang dimaksudkan ayah ialah Myvi kuning milik Husna. Memang pagi ini kami bercadang untuk pergi bersama ke Kemaman.

"Nanti sampailah agaknya. Kak pergi dulu." Jawab saya meminta diri. Sempat saya melihat anggukan ayah. Walaupun Myvi kuning belum kelihatan, saya sudah bersiap2 menunggu di luar rumah. Apatahlagi melihat jam di dinding sudah menunjukkan ke angka enam. Tidak lama, sebaik sahaja tayar kereta menjengah laman rumah saya terus masuk dan kami bertolak ke Kemaman meredah gelap pagi.


DERINGAN WAKTU SENJA

Tamat waktu kerja, saya dan rakan serumah, k.Dayah atau saya lebih senang memanggilnya dengan nama k.Day -tepat dan ringkas- bertolak balik ke rumah. Seperti biasa, sebaik sahaja sampai di rumah perkara pertama yang kami lakukan pastilah mengisi perut yang lapar. Sambil makan kami berbual2 dan menonton tv. Sebuah rancangan yang sangat jarang kami terlepas ialah 'Islam KTP' iaitu sebuah sinetron dari Indonesia yang ditayangkan di TV alHijrah jam 6 petang. Jika tiada apa2 halangan biasanya sinetron inilah yang menjadi pilihan kami serumah. Sinetron ini mempunyai keunikannya tersendiri. Mengisahkan sebuah kampung yang didiami oleh watak2 tetapnya Abang Ali (seorang kiai/wali), Mamat dan Karyo (anak muda yang miskin tetapi tidak pernah jemu mencuba menjadi muslim yang baik), Madit Musyawarah (orang kaya yang riak dan sentiasa sibuk dengan buku amal di tangan), juga watak2 sampingan iaitu Sabrina (anak Abang Ali) dan orang2 kampung yang lain.

Tepat jam 7 malam, waktu itu azan maghrib mulai berkumandang dari surau2 dan masjid2 berdekatan. Telefon saya berbunyi. Saat itu dada saya berdebar bila melihat nama 'ayah' tertera di skrin handset. Suara ibu berbaur sebak. Saya cuba bertenang mendengar berita yang disampaikan ibu. Ayah dibawa ke hospital kerana tidak sedarkan diri. Sebaik sahaja perbualan tamat, saya segera memberitahu k.Day dan kami bertolak pulang ke KT selepas solat Maghrib. Mujurlah beg pakaian saya belum terusik sejak saya sampai pagi tadi. Jadi dengan beg pakaian yang sama saya menuju ke KT.

Di dalam perjalanan, saya menelefon kerani sekolah menyatakan saya dan k.Day mengambil cuti kecemasan untuk keesokkan hari dan seterusnya sehingga hari Khamis. Husna yang sedang berkursus di Kuantan juga saya khabarkan perkara yang sama. Tidak banyak yang kami bualkan di dalam perjalanan. Cuma doa saya tidak putus meminta jauh perkara2 yang buruk terjadi pada kami sekeluarga.

3 comments:

Hamidah Harun said...

kak ummi..=(..moga ayah kak ummi sehat..

saye memahami perasaan kak ummi..

sebak..=(

Anonymous said...

k.ummi....
salam moga diberikan kekuatan jiwa...

k.mie said...

jijah: insyaAllah jah :)