Wednesday, September 18, 2013

:: Kerana Syurga Itu Manis ::


Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Sahabat saya Mariyam, diduga dengan ujian yang sangat berat. Cemburunya saya, kerana di sebalik segala keperitan yang dialami, dia masih mampu tersenyum. Cemburunya saya, kerana betapa Allah sangat menyayanginya.

Memang sejak dulu, saya tahu dia diduga dengan ujian yang bukan sedikit. Perjalanannya bergelar huffaz melalui liku2 yang sangat perit dan memerlukan kekuatan mental yang bukan sedikit. Bukan murah harga yang perlu dibayar. Tetapi dia tetap positif. Amanahnya dijaga sebaik mungkin. Dia dalam ingatan saya bukan seorang insan yang mudah menyerah kalah. Auranya sentiasa positif. Tidak mudah gentar pada kezaliman.

Sekarang, hidupnya diuji lagi. Baru sahaja ingin mengecap bahagia, kekasih Abadi memanggil lagi. Kali ini dengan panggilan sayang yang lebih hebat. Dalam sarat menunggu kelahiran cahaya mata sulung, suaminya disabitkan kesalahan yang tidak layak dipanggil dosa. Bergelar penjenayah di mata pemimpin, tetapi hero di mata rakyat. Dihukum penjara dua tahun dan denda rm5000. Memisahkan suami dari isteri, juga ayah dan anak dalam kandungan.

Entah hikmah apa yang sedang disembunyikan oleh Allah, hadiah khusus untuk hamba-Nya Mariyam. Moga dikau kuat Yam, doa kami mengiringimu. Berdoalah, kerana doa orang yang dizalimi tidak pernah diabaikan. Cepat atau lambat tidak penting, yang pasti doamu pasti terkabul.

Yam,
Hamba yang lupa dirinya sebagai hamba, tidak akan bersedia menerima ujian. Aku tahu pasti bukan dirimu hamba itu. Usah ditanya kenapa ujian ini pahit, kerana jawapannya syurga itu manis dan tidak pahit.

Allah ma'aki.

No comments: