Wednesday, December 12, 2012

:: Dia Yang Ku Panggil Ayah ::


Tergagau saya mencari arah. Panggilan telefon dari ibu lewat senja itu menyentap perasaan. Ayah tidak sedarkan diri! Minda sedar saya mula mengutip waras. Mengutip kembali wajah dan kondisi ayah yang saya tinggalkan subuh tadi. Ayah tidak menunjukkan apa2 yang negatif. Subuh itu, dia masih mantap menyusun langkah mengelilingi rumah. Malah masih kuat mengejutkan adik yang lena untuk menunaikan solat Subuh. Wajahnya segar, nada suaranya kuat. Cuma malam tadi...ya, malamnya saya terperasankan sesuatu saat memandang wajah ayah.


HUJAN DAN LEBUHRAYA

Sabtu 10 November, saya mendapat khabar ibu, ayah dan adik kemalangan. Waktu itu saya sudah bersiap2 menunggu kedatangan Husna untuk kembali ke Kemaman setelah bercuti hujung minggu. Jantung saya berdebar. Toyota Avanza yang dipandu adik terbabas di lebuhraya. Wajarlah, jika keadaan hujan lebat dan jalan yang licin adik saya masih menekan minyak tanpa 'rasa bersalah'.

Petang itu, saya masih meneruskan perancangan kembali ke tempat kerja walaupun hati berdebar.  Apabila mendengar ketiga2nya selamat, saya merasakan tidak ada apa2 yang perlu dirisaukan tetapi masih ada rasa kurang enak menyapa. Malam itu saya tidur dengan perasaan yang sukar ditafsir. Ada rasa debar berlagu tidak henti.

Ahad 11 November, sebaik sahaja tamat kelas saya terus melangkah ke pejabat. Bertanyakan kerani jika saya boleh mengambil cuti keesokan harinya. Alhamdulillah cuti saya diluluskan dan saya bertolak pulang petang itu juga. Hampir seminggu saya berada di rumah, tiada apa2 yang merisaukan. Ibu tiada apa2 yang cedera, cuma kakinya sedikit bengkak. Adik juga tiada apa2 selain gigi depannya sahaja yang patah. Cuma ayah, selain gusi dan mulutnya bengkak, tulang rusuknya terperosok ke pintu kereta menyebabkan daya kekuatan di bahagian kiri sedikit berkurang. Secara keseluruhan, keadaan semakin pulih seperti biasa. Saya cuba memujuk ayah untuk membuat pemeriksaan lanjut di hospital tetapi tidak dihiraukan. Bukan saya seorang, rasanya hampir setiap orang yang datang menjenguk membuat usulan yang serupa. Tetapi ayah langsung tidak berganjak dari keputusannya untuk tidak bertemu doktor dan membuat imbasan x-ray.

Selasa 13 November, saya masih berkira2 untuk mengikuti lawatan akhir pelajar STAM 2012 ke Pulau Langkawi dan Cameron Highland selama 5 hari. Berat hati untuk bergembira dalam keadaan ayah yang masih belum pulih sepenuhnya. Apatahlagi setiap hari ada sahaja yang datang berziarah. Saya terhimpit di antara dua kondisi. Berat hati untuk pergi tetapi saya kasihankan k.Day, teman serumah saya yang keseorangan jika saya tidak turut serta. Setelah berbincang dengan ibu, dia tidak berbicara banyak. Cuma mengatakan 'tidak baik menyusahkan orang dengan keputusan last-minute. Mana mereka nak cari pengganti menggantikan kamu di saat akhir...' Saya terdiam. Akhirnya dengan berat hati malam itu saya melangkah jua ke Menara YIT, menunggu bas ke lawatan 5 hari 4 malam itu.

Tengah malam 17 November, saya selamat tiba di Terengganu. Tidak menunggu lama, adik saya sudah sampai bersama sepupu untuk menjemput. Esoknya sehari lagi saya mengambil cuti kecemasan. Cuti rehat selepas 5 hari kosong dari kerehatan.

Saya bercadang untuk kembali ke INSPI pada pagi Isnin. Jadi saya masih ada masa sehari untuk mengemas rumah dan menyiapkan barang2 untuk dibawa ke rumah sewa di Kemaman. Malangnya dek kerana terlalu ramai yang datang berziarah, rancangan hanya tinggal rancangan. Baju2 yang dibawa semasa bercuti sempat dibasuh, tetapi tidak sempat bersidai. Rumah juga tidak sempat dikemas. Ayah pula nampaknya semakin pulih walaupun saya masih ragu2 dengan kesihatannya. Malam itu dia nampak kurang bermaya dari hari2 sebelumnya. Tapi tidak pula terlintas apa2 yang kurang elok di fikiran.

Pagi Isnin 18 November, sebelum Subuh saya bangun untuk bersiap. Perjalanan dari KT ke Kemaman jika mengikut jalan pantai mengambil masa kira2 3 jam. Tapi jika mengikut lebuhraya pula hanya memakan masa 2 jam perjalanan. Untuk menjimatkan masa, biasanya jika bertolak pagi kami melalui lebuhraya agar sampai tepat pada waktu sementelah waktu masuk kerja bermula jam 8 pagi.

Usai sembahyang Subuh, saya lihat ayah sudah mula berjalan2 sekitar rumah. Imej lemah ayah semalam terhapus melihatnya yang sudah bertenaga Subuh itu. Hati saya sedikit lega.

"Ayah nak makan bubur jagung?" Saya bertanya setelah teringat bubur jagung yang saya panaskan sebelum solat Subuh.

"Boleh juga." Balas ayah ringkas. Selepas menyiapkan bubur jagung, saya menyalami tangan ayah.

"Mana kereta?" Kereta yang dimaksudkan ayah ialah Myvi kuning milik Husna. Memang pagi ini kami bercadang untuk pergi bersama ke Kemaman.

"Nanti sampailah agaknya. Kak pergi dulu." Jawab saya meminta diri. Sempat saya melihat anggukan ayah. Walaupun Myvi kuning belum kelihatan, saya sudah bersiap2 menunggu di luar rumah. Apatahlagi melihat jam di dinding sudah menunjukkan ke angka enam. Tidak lama, sebaik sahaja tayar kereta menjengah laman rumah saya terus masuk dan kami bertolak ke Kemaman meredah gelap pagi.


DERINGAN WAKTU SENJA

Tamat waktu kerja, saya dan rakan serumah, k.Dayah atau saya lebih senang memanggilnya dengan nama k.Day -tepat dan ringkas- bertolak balik ke rumah. Seperti biasa, sebaik sahaja sampai di rumah perkara pertama yang kami lakukan pastilah mengisi perut yang lapar. Sambil makan kami berbual2 dan menonton tv. Sebuah rancangan yang sangat jarang kami terlepas ialah 'Islam KTP' iaitu sebuah sinetron dari Indonesia yang ditayangkan di TV alHijrah jam 6 petang. Jika tiada apa2 halangan biasanya sinetron inilah yang menjadi pilihan kami serumah. Sinetron ini mempunyai keunikannya tersendiri. Mengisahkan sebuah kampung yang didiami oleh watak2 tetapnya Abang Ali (seorang kiai/wali), Mamat dan Karyo (anak muda yang miskin tetapi tidak pernah jemu mencuba menjadi muslim yang baik), Madit Musyawarah (orang kaya yang riak dan sentiasa sibuk dengan buku amal di tangan), juga watak2 sampingan iaitu Sabrina (anak Abang Ali) dan orang2 kampung yang lain.

Tepat jam 7 malam, waktu itu azan maghrib mulai berkumandang dari surau2 dan masjid2 berdekatan. Telefon saya berbunyi. Saat itu dada saya berdebar bila melihat nama 'ayah' tertera di skrin handset. Suara ibu berbaur sebak. Saya cuba bertenang mendengar berita yang disampaikan ibu. Ayah dibawa ke hospital kerana tidak sedarkan diri. Sebaik sahaja perbualan tamat, saya segera memberitahu k.Day dan kami bertolak pulang ke KT selepas solat Maghrib. Mujurlah beg pakaian saya belum terusik sejak saya sampai pagi tadi. Jadi dengan beg pakaian yang sama saya menuju ke KT.

Di dalam perjalanan, saya menelefon kerani sekolah menyatakan saya dan k.Day mengambil cuti kecemasan untuk keesokkan hari dan seterusnya sehingga hari Khamis. Husna yang sedang berkursus di Kuantan juga saya khabarkan perkara yang sama. Tidak banyak yang kami bualkan di dalam perjalanan. Cuma doa saya tidak putus meminta jauh perkara2 yang buruk terjadi pada kami sekeluarga.

Sunday, July 29, 2012

:: Hadir Semula ::

Salam 9 Ramadhan.

Sudah hampir satu pertiga.

Sudah di tahap mana iman di dada?

Setiap hari, hati diterjah soalan yang serupa. Sepanjang kehadiran Ramadhan kali ini, berapa banyak amalan2 yang bertambah daripada bulan2 selainnya. 

Mendidik hati dan jiwa jauh dari dosa, bukanlah semudah memetik jari. Apatahlagi untuk mengikis segala sifat2 mazmumah yang sudah tertanam sepanjang 11 bulan yang lalu. Kerja memakan masa yang bukan sedikit. Tertarik dengan dokumentari yang saya tonton di Al-Hijrah baru2 ini. Kisah masyarakat Muslim di China pada bulan Ramadhan. Bila ditanya kepada salah seorang imam di sana apakah persediaan yang beliau lakukan untuk menyambut Ramadhan, jawapannya mudah. Beliau sudah mula berpuasa dan melakukan amalan2 yang biasa dilakukan di bulan Ramadhan sejak masuknya bulan Rejab dan Syaaban. Bermakna Ramadhan beliau sudah masuk ke bulan ketiga jika dihitung2. Subhanallah. Jika hendak dibandingkan dengan kita, mungkin bezanya bagai langit dengan bumi. Apa tidaknya, sehari sebelum Ramadhan pun kita masih bergelak ketawa, riang memasukkan makanan demi makanan yang tidak pernah putus di depan mata. 

Allah....

Saat ini.....

Bagi mereka yang sedang atau bakal menghadapi imtihan,

Bagi mereka yang masih tercari2 tujuan hidup yang fana,

Bagi mereka yang sedang tergores hati sesama makhluk-Nya,

Bagi mereka yang jodohnya masih dalam rahsia Allah,

Bagi mereka yang sedang menunggu rezeki yang barakah dari Allah,

Semoga Ramadhan ini menjadi penyinar dan penyembuh buat kalian semua.

Allahu yuftah 3alaikum jamii3an wa yahfazullahu lakum fi hifzih.

Thursday, July 5, 2012

:: Pot.Pet.Pot.Pet ::

Lagi sepuluh hari, genaplah tiga bulan berkampung(?) di bumi INSPI. Berubah angin. Suasana juga berbeza. Bak kata seorang kawan, kalau dulu kita berhadapan dengan karenah remaja, sekarang kita berhadapan dengan karenah orang dewasa. Orang berkerjaya, tapi corak dan cara pemikiran yang berbeza. Alhamdulillah ala kulli hal. Semoga Allah mengurniakan yang baik2 sahaja untuk kami di sini.

Hari ini INSPI sudah mula lengang. Cuti mid-sem bermula esk, 060712 hingga 140712. Jeles betul tengok mereka angkut2 beg, ada sebahagiannya ibubapa yang datang menjemput tapi majoritinya naik bas. Pagi tadi lepas checking asrama, bas dah siap menunggu. Pelajar2 tempah bas ramai2 dan diangkut ramai2 ke stesen bas. Agaknya penuhlah stesen bas tu dengan warga INSPI. Ada yang balik ke KT, Dungun, Besut, malah ke luar negeri pun ada. Luar negeri, bukan luar negara. Saja buat lawak sengal tengahari nie ^_^

Jadi tinggallah kami barisan pensyarah(?) [erkk...masih tergeliat lidah nak mengaku pensyarah] dalam bilik yang besar gedabak nie. Tapi untungnya untuk pensyarah2 hafazan, lepas checking asrama kelas hafazan wujud seperti biasa. Pelajar2 diploma juga tak dibenarkan pulang awal seperti pelajar2 bidang lain. Dan sebenarnya untuk midsem ni mereka tak dibenarkan bercuti. Ada kem menunggu untuk mereka sehingga hari rabu kecuali mereka yang ada musyaqqah sahaja dibenarkan excuse. Bimbang kalau benarkan mereka bercuti, takut Al-Quran pun turut 'cuti'. Seksa nak mula balik bosss!!! Exam pun dah tak lama. Mana nak kejar muqarrar hafalan lagi, nak muraja'ah lagi. Berdebar nak lepaskan diorang main2 masa nie.

Untung juga ada kem nie. At least kami pensyarah2 ada kerja nak dibuat sepanjang cuti midsem. Ini yang tak best bila bergelar penjawat awam. Waktu kerja dari pukul 8am hingga 5pm. Bila orang cuti kami tak cuti. Sebab tu jeles bila tengok budak2 nie balik kampung. Rindu zaman belajar. So sebab kami tak cuti, kami plan untuk ambil cuti rehat hari ahad nie. Walaupun kesian juga kat budak2 diploma sebab terbengkalai tasmi'e mereka hari ahad tu, tapi nak buat macamana kami dah plan nak pergi holiday. Huhu...sorry ye anak2:P

Petang nie kalau tak ada aral insyaAllah kami akan bertolak dari Kemaman ke KL. Plan asalnya hanya untuk pergi borong tudung dan jubah. Tapi tak tahulah kan kalau dah sampai sana lain pula jadinya^_^ ok, doakan keselamatan kami sepanjang permusafiran nie. Semoga Allah mengiranya sebagai pahala ibadah, ameen ya Rabb.

Tuesday, June 5, 2012

:: Kun Fayakun ::


Bismillahirrahmanirrahim.

Allahuakbar! Apa khabar semua? Lamanya tak menulis. Ruang blog nie dah bersawang lagi. Bukan seminggu atau 2 minggu. Tapi untuk beberapa bulan yang tak terhitung. Bukan tidak sudi, tapi mood yang tak boleh dipaksa. Apakan daya, duri daun palas amat kuat cengkamannya=P

Terlalu dan teramat banyak cerita yang ingin ditulis dan dikongsikan. Tempat baru, suasana baru, dan sudah tentu rutin juga baru. Ala kulli hal, Allah memang sangat penyayang. Perancangan-Nya yang sangat halus namun hikmahnya masih tersimpan rapi. Belum tercapai ke akal fikiran seorang manusia biasa. Hanya menerima dan terus menerima dan insya-Allah redha dengan segala yang telah Allah aturkan. Cuma berharap agar ini adalah nikmat, bukan istidraj. Nauzubillah!

Sudah hampir dua bulan berubah angin. Hampir setiap minggu juga melalui jalan panjang tiga jam dari Kemaman ke Kuala Terengganu. Berulang-alik dari Binjai ke Padang Air. Secara jujur, saya masih belum dapat menerima perubahan ini dengan sepenuhnya. 5 bulan menanam anggur. Hasilnya tidak nampak2. Kalau dapat hasil bestlah juga. Malangnya beras makin susut, badan tak surut2. Untuk 5 bulan yang pertama, menjadi surirumah tak bertauliah. Sakit juga. Waktu itulah terasa cepat2 nak sambung belajar. Walau tidak pasti sejauhmana kemampuan diri menggalas tugas sebagai seorang pelajar sarjana, namun keinginan untuk keluar daripada title 'surirumah' itu menyebabkan saya tidak mahu berfikir dua kali.

Benarlah, Allah sebaik2 perancang. Bila Dia mengatakan jadi, maka jadilah sesuatu itu dengan kehendak-Nya. Ingin menyambung pengajian bukan cukup hanya dengan azam dan keinginan. Material juga penting. Dengan status 'surirumah', saya kurang dari segi material.

'Pasal duit jangan bimbang, mak ayah akan tanggung.' Demikian kata ibu.

Mendengarnya bukan mengundang senang, malah menambah beban di hati. Kalaulah ibu dan ayah saya masih sihat, muda dan bertenaga, tawaran itu terasa rahmat. Tapi kata2 itu keluar dari mulut seorang ibu yang sudah tua. Kudratnya sudah semakin tiada. Hati anak mana tidak perih. Akhirnya panggilan temuduga sebagai tenaga pengajar di sekolah kelolaan YIT saya sambut.

Temuduga dihadiri dalam perasaan yang berbelah bahagi. Hati saya kuat mengatakan temuduga saya tidak akan berjaya. Saya kurang dari segala segi. Apatahlagi melihatkan calon2 yang lain yang kuat latar belakangnya, cemerlang akademiknya, membuatkan saya lebih terasa kerdil. Ditambah lagi dengan keadaan diri yang kurang sihat, ruang temuduga saya masuk dengan perasaan yang bercampur baur.

Dengan kuasa Allah yang maha hebat, kasih-Nya yang melimpah, entah macamana saya dan rakan2 yang menjalani temuduga pada hari yang sama diterima dan dikehendaki melaporkan diri dalam waktu yang terdekat juga. Dalam kelam kabut dan terkejut, saya masih menimbang2 apakah ingin menerima atau menolak tawaran yang hadir dalam sekelip mata ini. Tapi apabila melihat reaksi ibubapa yang sangat gembira dengan tawaran tersebut, saya jadi lemah. Biarlah untuk kali ini, saya mengikut kehendak mereka setelah bertahun2 mereka memenuhi kehendak saya.

Kesan dari penerimaan jawatan tersebut adalah, saya terikat dengan segala tatatertib sebagai seorang penjawat awam. Impian saya juga mungkin tertunda. Kalau sebelum ini saya nekad ingin menyambung pengajian untuk pengambilan september ini, bermakna impian saya tertunda ke bulan februari atau paling tidak ke bulan september tahun hadapan. Tetapi saya tidak berani membayangkan kemungkinan pengajian saya hanya terhenti di peringkat sarjana muda sahaja. Sungguh saya tidak sanggup walaupun sekadar membayangkan sahaja.

Doa saya, semoga Allah memperkenankan segala hajat yang tersimpan di hati ini. Allahumma, sahhil 3umuuri wa 3umuurana jami3an. Yakinlah dengan Allah, duhai hati!



Wednesday, February 29, 2012

:: Satu Yang Bermakna ::


Pelajar terasa. Guru juga ikut terluka.

Sejak mula mengajar semula, ada suatu rasa yang sukar diungkap beraja di dalam diri. Walhal bukanlah saya tidak pernah bekerja sebelum ini. Tetapi kali ini, aneh. Saya tidak tahu bagaimana untuk mentafsir.

Kata bidalan orang tua2, guru ibarat sebatang lilin. Dirinya terbakar, tapi cahayanya menyimbah ke seluruh pelusuk hati manusia. Bagi saya, jika dirinya sudah dibakar, bagaimana hendak memberi cahaya? Bidalan yang kurang tepat mungkin? Jadi kata bidalan apa yang sesuai diungkap buat guru? Matahari? Bulan? Saya lebih menyukai perkataan bulan^_^ cahayanya menerangi malam gelita, tapi dirinya tidak terbakar.

Dua minggu lalu, saya membuat target hafazan yang perlu dihabiskan oleh pelajar2 saya. Hanya tiga mukasurat bagi mereka yang agak kurang kemampuan hafalannya. Bagi saya, tiga mukasurat tersangat sedikit untuk dihabiskan dalam masa dua minggu. Pelajar malas seperti saya pun insya-Allah dapat menghabiskannya. Tetapi demi meraikan komitmen mereka kepada subjek2 yang lain, maka dengan berat hati saya meletakkan target tersebut. Tiga mukasurat yang bermakna.

Pihak sekolah menetapkan tingkatan 1 wajib menghabiskan hafalan dari surah an-Nas sehingga al-Buruuj untuk bulan Februari ini. Manakala lain2 tingkatan wajib menghabiskan sekurang2nya tiga mukasurat. Mereka yang tidak dapat mencapai target tersebut akan dibatalkan cuti mereka Mac ini. Ini yang merunsingkan saya.

Tidak perlu banyak. Tidak perlu panjang. Cukup sekadar mereka mahu menunjukkan kesungguhan mereka. Walau satu mukasurat seminggu sudah memadai, saya faham. Bukan semua mereka tidak bersungguh, tidak rajin. Cuma mereka belum tahu untuk mengurus masa dan menyekat pengaruh2 yang ada di sekeliling mereka.

Saya tahu apa yang menyebabkan mereka menjadi malas untuk menghafal al-Quran. Selain tiada minat, masa juga memainkan faktor yang penting. Bagi mereka yang tinggal di rumah, mereka hanya perlu melatih diri menjadi lebih rajin kerana mereka tidak terikat dengan peraturan2 asrama. Namun cabaran mereka terletak pada biah atau suasana di rumah pula. Ibubapa perlu dibantu, kawan2 yang memanggil untuk bermain, maka di situ terbentuk pula suatu cabaran lain.

Bagi mereka yang tinggal di asrama pula, mereka perlu mematuhi peraturan asrama. Sesi persekolahan tamat pada jam 4 petang. Masa yang diperuntukkan untuk hafalan hanya selepas maghrib. Dalam masa kurang 1 jam, berapa ayat sangatlah yang boleh mereka hafal. Hanya mereka yang benar2 rajin sahaja akan mencuri masa lain untuk menghafal. Manakala yang selebihnya sekadar mengikut waktu2 yang telah dikhususkan.

Saya sedar, pembinaan minda mereka tentang hafaz al-Quran baru ingin terbentuk. Mereka perlu diberi pengetahuan dan pendedahan sebelum mereka boleh menghafal. Itu hak mereka. Tapi saya sendiri terasa sukar untuk melakukannya kerana ada silibus yang diberikan oleh pihak sekolah yang harus dihabiskan dalam masa setahun. Jadi buat masa sekarang saya masih gagal untuk memberikan hak tersebut. Sebab itu, bila saya mengumumkan nama2 yang gagal mencapai target dan tidak boleh pulang bercuti, hati saya sakit.

Hati saya mengatakan saya sudah gagal. Kegagalan mereka juga kegagalan saya. Kesedihan mereka juga kesedihan saya. Mereka sangat kasihan kerana mendapat saya sebagai guru. Mungkin kalau mereka berguru dengan orang lain, mereka boleh menjadi lebih baik dan tidak perlu menanggung luka begini. Perit rasanya melihat airmata mereka.

Hanya satu mukasurat, tetapi ia sangat bermakna jika ingin pulang bercuti. Di satu sudut hati saya, ingin benar saya melepaskan mereka pulang ke rumah bercuti seperti rakan2 mereka yang lain. Tapi saya tidak boleh mengkhianati amanah yang terpikul di bahu saya. Salah mereka kerana mengambil mudah amaran saya, tapi silap saya kerana tidak menemui cara terbaik untuk mentarbiyah mereka. Semoga Allah mengampuni segala kekhilafan dan keculasan.