Monday, December 17, 2012

:: SMS ::


Ayah masih sama. Keadaannya tidak banyak berubah. Cuma 2 hari lalu, dia nampaknya sudah boleh bergerak lebih banyak dari biasa. Syukur alhamdulillah. Hari demi hari, kami sekeluarga masih mendoakan kesembuhan yang lebih baik buat ayah.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tidak ramai orang yang benar2 boleh menghayati apa yang orang lain rasa. Saya tidak menujukan kepada siapa2, contoh yang paling dekat adalah diri saya sendiri. Sejauhmana saya boleh merasai keperitan dan kesusahan orang di sekeliling saya. Saya akui, adakalanya diri sendiri sukar untuk meletakkan rasa yang serupa di dalam kasut orang yang melaluinya.

Bila ayah diserang sakit, saya mula merasainya. Dengan hanya sepotong sms 'macamana ayah?' sudah cukup membuatkan saya merasa senang. Rasa sedih terubat apabila ada yang bertanyakan keadaan ayah walaupun orangnya tidak berada di depan mata. Saat ini memang terasa indahnya bersahabat. Mungkin dia sukar untuk berziarah lantaran kerja dan kekangan waktu. Ia langsung tidak menjadi masalah.

Kadang2 saya sendiri hairan, macamana dengan pertanyaan khabar dari seseorang membuatkan kita rasa gembira. Membuatkan kita merasa dihargai dan diingati. Hanya dengan sepotong sms. Yang ditanya pun bukanlah khabar keadaan kita, tetapi khabar ayah. Tidak perlu berada di depan mata berziarah. Juga tidak perlu menelefon bercakap berjam2. Cukup sekadar itu.

Ada ketikanya saya menangis apabila menerima sms begitu. Hati yang sedang sarat dengan rasa sedih kerana ayah yang terlantar, terubat dengan sms ingatan dari sahabat. Saya mulai mengerti, betapa ingatan dan doa seorang sahabat amat bermakna jika kita di dalam kesedihan dan kesunyian. Betapa Allah...menghadirkan rasa nikmat ukhwah dalam cara yang berbeza. Di dalam pelbagai bentuk yang tidak terduga.

Allah...terima kasih. Engkau menghadirkan sahabat yang ikhlas bersamaku. Walau apapun kekurangan yang kekhilafan yang aku perlihatkan kepada mereka, mereka masih setia bersamaku. Jasad mereka mungkin jauh, tetapi mereka masih berada di bumi yang sama denganku.

Ya Allah...peliharalah kami, kumpulkanlah kami di dalam halaqah rahmat-Mu yang Pengasih. 

Sahabat....terima kasih atas keprihatinanmu. Uhibbukunna fillah.
 


1 comment:

Hamidah Harun said...

kak ummi..moga ayah kak ummi segera sembuh..dan kak ummi juga diberi ketabahan..