Tuesday, May 28, 2013

:: Nikmatnya Ikhlas ::

Sewaktu melayari alam maya mukabuku, saya terlihat akan satu post yang memuatkan gambar guru2 saya. Saya tidak meletakkan perkataan 'bekas' di hadapan kalimah guru itu walaupun saya sudah lama meninggalkan alam menjadi pelajar mereka. Bagi saya, mereka tetap guru saya. Dulu, kini dan selamanya. Jasa mereka yang tercurah tidak mungkin saya lupakan.



Ini gambar terbaru. Sebahagiannya pernah menjadi guru saya, rakan sekerja saya, ada yang tidak sempat saya kenal. Dan sebahagian lagi yang pernah bergelar guru kepada saya tiada dalam gambar.

Ramai juga yang telah berpindah, mencari haluan dan rezeki di tempat lain. Yang masih kekal, masih istiqamah, seperti dalam gambar. Setiap kali saya menatap wajah2 yang masih istiqamah, hati saya sering dipagut pilu dan terharu. Saya teramat kagum. Sungguh. Pada keikhlasan dan pengorbanan yang mereka curahkan sejak dahulu sehingga sekarang. Tiada ucapan penghargaan yang mampu diungkap. Pengorbanan mereka benar2 tidak ternilai.

Manakan tidak, sewaktu saya masih bergelar pelajar di situ, terlalu banyak andaian2 yang boleh meruntuhkan semangat mereka yang mendengar. Yang tidak pernah menjadi sebahagian dari warga ini, tidak akan pernah memahaminya.

Saya masih terlalu mentah ketika itu. Di usia 12 tahun, saya mula mengenali hidup berasrama. Mengenali kawan2 dari pelbagai latar belakang dan asal usul. Gurauan2 bahawa sekolah ini akan ditutup setahun atau dua tahun akan datang (ketika itu) sentiasa meniti di bibir para pelajar. Segalanya timbul melalui pengamatan terhadap sekolah yang daif, pada akhlak pelajarnya yang tunggang langgang, pada ketidakberangsangan akademik penghuninya, pada ketidakcukupan jumlah gurunya. Pendek kata segala shortcoming yang hadir dari sekolah itu pasti menjadi buah mulut pelajar.

Saya sendiri, pernah meramalkan bahawa MTT tidak akan bertahan lama. Mungkin cukup dalam 5 tahun. Salah satu tanda kecetekan akal yang ada pada saya ketika itu. Saya menyesal mengucapkannya. Sungguh2 menyesal. Entah dari segi mana akal saya mengukur, Allah...

Tetapi kuasa Allah, tiada siapa yang boleh menghalang. Masa menginjak dari tahun ke tahun, dan ia tetap kukuh mengorak langkah menuju tujuan asal penubuhannya. Melahirkan generasi rabbani yang berilmu dan beramal. Betapa sekolah itu, dalam kedhaifannya bersaing membina nama di tengah2 sekolah2 sains dan elit yang lain, masih teguh berdiri sehingga ke hari ini. Bersama dengan guru2 yang masih istiqamah. Dengan teguh dan ikhlasnya cuba membina peribadi muslim dalam setiap individu pelajarnya.

Saya kagum, pada setiap kerutan yang terukir di wajah, mereka masih teguh menyusun langkah. Guru baru datang bersilih ganti. Kebanyakannya beralih angin ke tempat lain apabila tempat lain menawarkan upah yang lebih lumayan. Berganda lumayan daripada gaji mereka di sini. Salah satu faktor yang menyebabkan saya mengagumi mereka.

Bergelar guru di sekolah swasta, gajinya tidak lumayan. Hendak menyamakannya dengan tempat2 yang lain, amat jauh bezanya. Terselit juga rasa hairan mengapa mereka masih teguh di sini. Gaji tidak banyak, dengan keperluan dunia sekarang yang terlalu mengagungkan wang, saya lihat mereka masih mampu tersenyum. Ada sesetengah mereka yang terdiri dari suami isteri, berada di tempat yang sama, dengan gaji yang tidak jauh beza. Bilangan anak2 yang ramai, dan kebanyakan anak para guru berada di sekolah ini, yang yuran bulanannya mencecah 3 angka setiap bulan. Hendak difikirkan dengan akal manusia, memang tidak akan tercapai. Akal kita tidak boleh memikirkannya. Dari mana mereka mendapat sumber rezeki, jika gaji bulanan mereka hanya sekitar seribu atau dua ribu sahaja yang dalam perkiraan kerajaan, mereka diisytiharkan sebagai miskin! Sungguh, Allah telah benar2 menunjukkan keagungan-Nya. Mereka masih mampu hidup, cukup malah masih mampu berinfaq. Rezeki yang tidak disangka2, bila hamba-Nya ikhlas dan menyerah diri kepada-Nya dengan sebenar2 penyerahan.

Saya memuji mereka, tidak bermakna saya tidak menyayangi guru2 saya di sekolah yang lain. Tetapi kerana mereka mempunyai keunikan yang tersendiri. Tanpa gaji yang beribu2, mereka mampu menyara keluarga. Mampu membeli kereta dan membina rumah. Bahkan ada di kalangan mereka lebih mampu daripada orang yang bekerja makan gaji dengan kerajaan. Melihat mereka, sering sahaja saya merasa insaf. Mungkin kesenangan dan ketenangan mereka itulah barakah dari duit hasil titik peluh mereka. Ada orang yang gajinya berbelas2 ribu, namun hidupnya sentiasa merasa sempit. Tidak tahu ke mana belasan dan puluhan ribu itu dihabiskan. Nauzubillah, moga Allah tidak memasukkan kita ke dalam golongan seperti ini.

Jauh di sudut hati, saya merasakan saya tidak akan mampu menjadi seperti mereka. Golongan pendidik yang sememangnya ikhlas mendidik pelajarnya. Bukan kerana gaji yang setiap bulan masuk poket, bukan jua dahagakan pujian yang melangit. Tetapi kerana ikhlas. Bukan saya tidak pernah mencuba, malah sudah dua kali saya cuba menyumbang tenaga di sekolah ini. Tapi dua kali juga percubaan saya gagal. Agaknya kerana saya belum cukup ikhlas. Disebabkan itu, saya menjadi malu untuk berhadapan dengan guru2 saya ini. Malu kerana saya tidak mampu menjadi seperti mereka. Bukan kerana didikan mereka tidak berjaya, tapi kerana diri saya sendiri yang tidak reti mendidik nafsu sendiri.

Saya hanya mampu menyumbang doa, semoga akan hadir pelapis guru2 yang saya sayangi ini untuk generasi akan datang. Saya berdoa semoga saya adalah orangnya, suatu hari nanti. Kalaupun bukan saya yang ditakdirkan, semoga Allah menghadirkan yang terbaik. Juga semoga Allah sentiasa memberikan kekuatan dan kesihatan kepada guru2 saya untuk sentiasa bersemangat mendidik pelajar. Bukan mengharapkan balasan dunia, semoga balasan syurga sahaja yang menanti. 


Guru2ku, sungguh kalian anugerah yang tidak ternilai. Keikhlasan kalian mendidik, hanya Allah yang berhak membalasnya dengan sebaik2 balasan. Ya Allah, kurniakan mereka kesihatan dan istiqamah. Semoga mereka terus setia.
.
Terima kasih....
Guru...

No comments: