Sunday, May 22, 2011

:: Untukmu Permataku ::

Bermula langkah pertama,
Ku bertatih mengenal erti hidup,
Seribu halangan dan dugaan menghalang,
Ku kuatkan hati dan diri,
Agar langkah ini seiring denyut nadi,
Kerana aku rindu,
Rindu melihat senyumanmu,
Yang seringkali tidak pernah mati

Tatkala kaki tertusuk duri,
Langkah tersadung,
Mengundang sakit tidak terperi,
Dikau masih di sisi,
Kekal menyiram nasihat tidak henti,
Katamu usah dihirau sakit yang fana,
Kerana di hujungnya masih ada sinar.

Duhai permataku,
Tekadku masih tergenggam kemas,
Tatkala bayang wajahmu menyapa,
Hatiku tak pernah hampa,
Kerana di sebalik keresahan dek culasku,
Tenangmu masih teguh terhampar,
Masih bangga mengatakan aku anakmu,
Menyemarakkan kasihku padamu.

Ibu yang bertarung nyawa melahirkanku,
Jua ayah yang tidak jemu membanting keringatmu,
Terima kasih di atas segala kasih sayangmu,
Bermula merah tubuhku melihat dunia,
Sehingga hari ini kelahiranku,
Daku kan sentiasa memerlukanmu
Takkan ku tega meniti hidup tanpamu.

Ya Allah,
Kedua insan ini amat ku sayangi,
Justeru itu ya Illahi,
Sayangilah mereka,
Rahmatilah mereka,
Kasihanilah mereka,
Setulus kasih mereka buatku,
Sedari kecil hingga akhirnya,
Ku harap kasih ini kan tetap bertaut,
Sehingga saatku bertemu dengan dengan-Mu,
Ya Rahman Ya Rahim....

No comments: